Apakah kepentingannya?
- Melindungi diri anda dan keluarga anda terhadap kemalangan, kerugian dan gangguan semasa dalam tempoh perjalanan.
Jenis Perlindungan
Skala manfaat yang ditawarkan oleh syarikat insurans adalah berbeza-beza. Lazimnya, perlindungan yang disediakan adalah untuk:
- Kemalangan diri
- Belanja perubatan dan yang berkaitan
- Kehilangan deposit perjalanan atau pemendekan pemergian
- Kehilangan bagasi, barangbarang kepunyaan peribadi dan wang
- Kehilangan passport
- Liabiliti diri
- Kelewatan bagasi
- Kelewatan perjalanan
- Rampasan kenderaan
- Penghantaran pulang jenazah.
Pengecualian Perlindungan
Biasanya kerugian yang disebabkan oleh peristiwa-peristiwa berikut selalunya dikecualikan daripada perlindungan insurans perjalanan:
- Risiko peperangan
- Bunuh diri dan tidak siuman
- AIDS
- Pembunuhan atau serangan yang dirancang
- Melahirkan anak atau keguguran
- Sukan berbahaya
Senarai semak sebelum membeli insurans perjalanan
a) Barang-barang kepunyaan peribadi
Semak dengan syarikat insurans anda tentang barang-barang kepunyaan peribadi yang boleh dilindungi di bawah insurans perjalanan kerana perlindungan yang diberikan oleh setiap syarikat insurans adalah berbeza.
b) Benefisiari (pewaris)
Anda dinasihatkan supaya melantik benefisiari dan pastikan benefisiari anda itu mengetahui tentang polisi insurans perjalanan yang anda beli.
c) Insurans berganda
Sekiranya anda telah membeli lebih daripada satu polisi perjalanan, dan kemudiannya anda meninggal dunia atau hilang upaya, maka anda atau benefisiari anda mengikut mana yang berkenaan, akan dibayar pampasan di bawah setiap polisi. Walau bagaimanapun, bagi kerugian tertentu, seperti belanja perubatan yang pampasannya adalah berdasarkan pembayaran kembali (reimbursement), anda akan dibayar pampasan sekali sahaja bagi kerugian sebenar yang dialami.
d) Rangkaian gabungan asing
Pastikan syarikat insurans anda mempunyai rangkaian gabungan asing yang baik di negara yang anda lawati supaya boleh memberikan bantuan dan perkhidmatan yang sewajarnya apabila diperlukan.
e) Bantuan perubatan dan kecemasan
Anda juga perlu mengetahui sama ada syarikat insurans anda menyediakan perkhidmatan talian kecemasan "hotline" 24 jam.
Apa yang anda harus lakukan sekiranya berlaku kerosakan/ kerugian
a) Hubungi talian bantuan perubatan dan kecemasan
Jika polisi perjalanan anda memberikan perkhidmatan talian kecemasan "hotline", hubungi talian tersebut untuk mendapatkan bantuan mengenai keperluan perubatan dan perkara-perkara berkaitan perjalanan seperti kehilangan passport dan bagasi.
b) Beritahu pihak berkuasa
Sekiranya barang-barang kepunyaan anda yang diinsuranskan itu hilang atau rosak, anda hendaklah mengambil tindakan yang munasabah untuk meminimumkan kerugian, iaitu dengan cara melindungi, menyelamat dan memperolehnya semula. Anda hendaklah memberitahu pihak polis tempatan, hotel, syarikat pengangkutan dan pihak berkuasa terminal pengangkutan yang mana berkaitan dengan segera.
c) Beritahu syarikat insurans anda secepat mungkin
Apabila berlaku kerugian, anda hendaklah memberitahu syarikat insurans anda dengan serta-merta atau secepat mungkin.

Comments
Post a Comment